Iron Maiden? Ya, masih jelas dalam ingatan, sekitar umur 10 tahun,aku budak hingusan masih di bangku sekolah sudah leka dibuai irama Iron Maiden. Arwah Abe Dan merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan album Piece Of Mind, Somewhere In Time ,Fear Of The Dark, dan Live After Death kepada aku.Ya, ada benarnya ketika itu fikiranku tak mengenal apa makna heavy metal, hanya sekadar asyik mendengar alunannya setelah penat bermain basikal BMX. Tidak hairanlah sekiranya aku mengatakan metal telah lama berkarat lalu membeku dalam saluran akalku dan mungkin akan terus terpaku pada lubuk terdalam. Kenapa minat muzik bingit?, soalan yang sering memanah rongga telingaku.Mungkin dengan pernyataan ini sudah terjawab segala persoalan yang pernah dipersendakan oleh mereka yang tak pernah mengerti.Ini jalan pilihanku untuk mengecapi sedikit kepuasan sementara.
Setiap kali untuk melelapkan mata, irama Iron Maiden seakan wajib hadir mengulit malam-malamku.Hanya dengan menggunakan radio kecil, sudah cukup untuk melodi Iron Maiden bertindak selaku selimut lenaku.Masih jelas lagi, waktu itu aku paling meminati lagu Caught Somewhere In Time, The Number of The Beast, Fear Of The Dark, Alexander The Great dan Aces High.Alunan iramanya seolah-olah memberikan semangat untuk aku meneruskan hidup berdepan dengan hari-hari yang mendatang.Sehingga kini, getaran melodi Iron Maiden masih lagi setia mengisi ruang-ruang kosong perjalanan aku yang lesu.
“Katanya untuk lekas pandai untuk memahami tempo dan tinggi rendah nada ,aku perlu menyanyi sambil bermain gitar.Namun aku keras kepala seperti kerasnya batu karang di Lautan China Selatan.Mungkin kerana pada waktu itu aku sudah mula meminati band Iron Maiden dan Cromok yang agak keras muziknya dan lontaran vokal kemarahan yang cukup sifat seorang lelaki sejati.”
“Mulai hari itu aku selalu bermain lagu Blues Gang. Sekali sekala, aku berjaya juga membodek abang aku untuk mengajar aku bermain lagu " The Number Of The Beast" _Iron Maiden, intro "Metallurgical"_Cromok dan "Heavy Chains_Loudness serta Smoke On The Water_Deep Purple.”
“Pernah sekali aku tidur dengan mengikat jari aku menggunakan getah semata-mata untuk memberi daya tahan apabila memetik kord-kord yang sukar.Bila terkenangkan hal itu,secara automatik bibirku terukir senyum dan menggaru kepala walaupun tidak terasa gatal. Terbit perasaan malu pada diri namun itulah permulaanya rentetan aku setelah berkhayal seorang gitaris laksana pahlawan perkasa bersama sebilah pedang.Khayalan itu berlaku pada sekitar tempoh akhil baligh aku yang pertama.”-petikan daripada ‘Tentang Dia dan Khatulistiwa’ entri Jasadbeku blogspot.com 19 April 2009.
Perkhabaran tentang Iron Maiden akan datang ke Singapura disambut oleh perasaan aku yang bercampur aduk.Antara gembira dan gelisah silih berganti setiap detik.Kesgelisahan melanda kerana ketiadaan wang untuk mendapatkan tiket yang agak mahal, memandangkan tarikh yang sama aku terpaksa membayar roadtax kereta dan saman.Sesuatu yang kebetulan! Oh! bagaikan kaca terhempas di lantai konkrit dan digilis pula oleh kereta kebal APC V-100 CADILLAC CAGE.Luluh hati ini apabila melihat teman-teman lantang berbicara tentang Iron Maiden dengan tiket terselit di celah jari.
"Kenapa mu bersungguh-sungguh mahu pergi tengok Iron Maiden ?", tanya seorang kawan yang juga seorang pegawai pendidikan. "Ada kisah disebaliknya,kawan. Kalau aku tak pergi, aku akan rasa bersalah dengan diri sendiri. Lihat sekarang, atuk-atuk Maiden sudah tua, macam-macam boleh terjadi, mana tahu ini kali terakhir!" balasku dengan letusan bibir yang menzahirkan hasrat jujur dari hati.
"Kenapa mu bersungguh-sungguh mahu pergi tengok Iron Maiden ?", tanya seorang kawan yang juga seorang pegawai pendidikan. "Ada kisah disebaliknya,kawan. Kalau aku tak pergi, aku akan rasa bersalah dengan diri sendiri. Lihat sekarang, atuk-atuk Maiden sudah tua, macam-macam boleh terjadi, mana tahu ini kali terakhir!" balasku dengan letusan bibir yang menzahirkan hasrat jujur dari hati.
Berbekalkan peribahasa Melayu ada berbunyi ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’, akhirnya aku berjaya mendapatkan tiket Pen A Free Standing meskipun pada detik-detik akhir.Syukur!.Jutaan terima kasih kepada seorang kawan yang turut membantu pencarian tiket.Jasamu akan dikenang seperti aku mengenang kisah zaman kanak-kanak aku ditemani Iron Maiden.Perasaan gelisah secara automatik lenyap bertukar kepada semangat yang membara!.Tanpa sempat dengan perancangan yang rapi, aku selesaikan segala urusan sebelum bertolak.
“Mahalnya harga tiket.RM 450 satu kepala!” kata seorang kawan.Aku diam seketika kemudian berkata “ Kita panggil Iron Maiden mendendangkan lagu dalam bilikmu, kemudian kita bayar rm 10 000, dari awal-awal lagi Steve Harris tak mahu.Ini Iron Maiden,sesuatu yang bernilai, ada kualiti dan bukannya seperti Mawi Juara Sms AF.” Kami ketawa terbahak-bahak di pinggir jalan.
Sebelum bertolak, malangnya nasib pula aku tertinggal tiket dan pasport di tempat kerja.Selama 3 jam usaha aku untuk mendapatkannya kerana pintu grill pagar terkunci rapi. Dengan bantuan dua orang pengawal, aku memanjat bangunan yang tingginya 2 tingkat, dan akhirnya aku berjaya mendapatkan tiket dan pasport walaupun meninggalkan kesan calar berdarah di bahagian tepi perut kiriku akibat terkena bucu simen yang tajam lagi rakus.Apalah sangat parut calar ini berbanding Iron Maiden yang sudah bertahun-tahun setia menemani aku!. Soal demam dan sakit dada yang dihadapi seminggu sebelumnya sudah ditketepikan jauh,matlamat aku yang mesti direalisasikan ialah bertemu mata dengan Iron Maiden.
Disulami dengan semangat Iron Maiden, t-shirt Iron Maiden dan irama Iron Maiden, sampai jua kami di Singapura.Pertama kalinya kaki menjejaki Temasek, lantas aku terkenang tentang sejarah Sang Nila Utama keturunan diraja Srivijaya yang menubuhkan kerajaan Singapura lama pada tahun 1324.Kesempatan itu, kami bersiar-siar untuk mengenal serba sedikit perihal Singapura yang dahulunya dikenali sebagai Temasek.Keadaan cuaca di kota Singapura agak panas kerana setiap genap tanahnya didiami oleh konkrit-konkrit besi yang terpacak megah. Tiada apa-apa yang menarik tentang Singapura, selain pusat hiburan yang bangga bertelanjang bebas di merata tempat.Sama juga seperti di kota-kota Malaysia lagaknya.Cuma sedikit bezanya, kami tidak dapat merokok secara bebas berbanding di Malaysia. Aku tabik tanda hormat dengan ketegasan kerajaan Singapura melaksanakan undang-undang. Lupakan seketika untuk perihal Singapura yang sudah lama maju.
15 Febuari 2011 tercatat dalam diari kehidupan aku selaku Mat Metal Kampung.Jam menunjukkan pukul 3 petang, kami sudah terpacak di perkarangan Singapore Indoor Stadium .Aku hanya dapat memasuki ruang konsert pada sekitar jam 8 malam setelah hampir 5 jam beratur panjang . Lebih kurang jam 8.45 malam, aku diam tertikam lantas mencubit halus pada peha kiri dan kemudian hati berbicara Satellite 15...The Final Frontier dan El Dorado 2 Minutes to Midnight. Korus lagu ini disambut oleh suara segerombolan askar-askar di bawah.Seterusnya lagu Coming Home dan Dance of Death berkumandang, secara jujurnya dua lagu tersebut agak kurang mesra dengan telingaku, mungkin kerana bukan lagu pilihan aku,.Kesempatan ini aku mengambil keputusan untuk berasak sedikit ke depan lagi. Susah.Terlalu padat dengan batang-batang tubuh manusia. Dengan aksi moshpit, aku berjaya juga meloloskan diri ke jarak yang paling hampir dengan pentas.Tiba-tiba pentas digelapkan seketika lantas intro The Trooper bergema, sekali lagi segerombolan askar menggila.Keadaan menjadi huru-hara dan tidak terkawal. The Trooper merupakan sebuah lagu yang agak ringkas tetapi telah menjadi lagu 'kebangsaan' untuk pengikut setia Iron Maiden.Pelbagai bau badan dan peluh dari jasad-jasad pelbagai kaum bercampur-baur dan bersatu atas nama Iron Maiden.Konsert diteruskan lagi dengan lagu Blood Brothers ,The Wicker Man, When The Wild Wind Blows , The Talisman, dan The Evil That Men Do.Seperti juga pada awalnya, anggota Iron Maiden masih tetap bertenaga meskipun sudah lanjutt usia. Sesuatu yang amat mengagumkan.Benarlah kata seorang teman; “muzik menjadikan kita kelihatan muda dan bertenaga.”
Bruce Dickinson dengan suara tersendiri dan bersemangat melontarkan suara (dari awal sampai sekarang, suara beliau masih lagi tidak berubah), Steve Harris pula dengan penuh yakin memetik gitar bass besarnya dan sesekali membuat aksi tembakan ke arah penonton , Dave Murray dengan gaya bersahaja dan selalu melemparkan senyuman, Janick Gers dengan gaya lincah dan sesekali menari riang, Andrian Smith kelihatan fokus pada permainan gitarnya yang lebih kepada corak solo blues, manakala kelibat Nicko McBrain yang khusyuk menghasilkan hentaman sesekali kelihatan kerana terlindung dengan set drum. Satu perkataan untuk mengambarkan Iron Maiden : Lagenda!. Ditambahkan pula dengan seri latar belakang pentas yang sering bertukar mengikut lagu,hal ini menjadikan konsert itu seakan-akan bernyawa untuk santapan jiwa-jiwa gersang.
Sekali lagi pentas digelapkan, intro lagu Fear Of The Dark disambut oleh jeritan ribuan peminat di bawah. Seakan tidak percaya, dalam diam-diam, bulu roma aku meremang dan seketika aku terpaksa mengawal perasaan sebak dan terharu.(Mat Metal mesti kuat! Nota : ketawa terbahak-bahak).Aku tekenangkan zaman awal akil baligh.Zaman di mana setiap pagi aku memakai pakaian seragam sekolah dengan diiringi lagu Iron Maiden dan Deep Purple. Sesekali aku menoleh ke sebelah, kelihatan seorang abang atau layaknya dipanggil pak cik, matanya wujud air yang bergenang sambil menyanyi kecil setiap baris lagu.Mata kami bertaut, lantas dia melemparkan senyum. Aku turut tersenyum mesra.Oh! betapa hebatnya virus Iron Maiden yang telah menakluki setiap jiwa yang tandus.Lebih menarik lagi apabila bahagian melodi gitar juga turut diiringi oleh suara peminat.
Kemunculan maskot Eddie pada saat lagu wajib Iron Maiden mengamatkan suasana.Aksi Janick Gers bergurau senda dengan Eddie sangat menghiburkan.Aku tersenyum kerana sudah sedia maklum dengan Janick Gers yang selalu pandai menghidupkan suasana seperti yang dapat dilihat dari video sebelum ini.Seterusnya The Number of the Beast sebuah lagi karya klasik berkumandang mengegarkan setiap ruang stadium tertutup itu.Lantas lagi sekali aku terkenang arwah abang yang pernah mengatakan sangat suka bahagian ‘bass line’ petikan Steve Harris untuk lagu tersebut.Konsert bersejarah pada malam itu diakhiri dengan karya agung Hallowed Be Thy Name dan Running Free.Meskipun sedikit terkilan kerana ketiadaan lagu Aces High dan Rime Of The Ancient Mariner, aku masih mampu tersenyum dan “mengangkat dua ibu jari tanda puas untuk konsert Iron Maiden - The Final Frontier World Tour in Singapore.
Keringat membasahi segenap t-shirt aku seakan-akan turut sama membasahi jiwaku yang ‘dahaga’buat sekian lama dengan Iron Maiden. Ingin aku menjerit
nota : gambar hasil daripada Karisma dan LAMC Productions
*ketika menulis ditemani lagu-lagu dari album Somewhere In Time dari kugiran Iron Maiden.
*menanti Manowar, Slayer,Morbid Angel,Sepultura dan Cannibal Corpse.
Jasadbeku @ Wan Slaughter
19 Feb 2011
Bandar Puteri,Klang
4 ulasan:
awk mmg peminat Iron Maiden yang sejati...
akhirnya, impian tertunai...=)
...meremang bulu mata akak baca huhuhu... mcm2 perasaan ada, tp yg plg ketara ialah JELES! huhuhu... akak mmg nak pegi sgt sgt sgt sgt sgt sgt, tp abg joe takde... so dia tak bg akak pegi sbb dia risau akak pegi dgn sape, keselamatan akak cemana huhuhu... sedih giler...
takpelah harap2 abg joe dpt bwk akak pegi tgk iron maiden kat venua yg lain bila ada duit lebih nnt huhuhu (pujuk diri sdiri). i like to read ur writing, it has the same style as mine... keep it up!!! rasa mcm baca my own writings hehehe...
...meremang bulu roma daaa, apedaaa bulu mata plak... hahaha~
diela : heh maiden rules!
Sweet 666 : like to read ur writing, it has the same style as mine... keep it up!!! rasa mcm baca my own writings-thanks a lot,sis.:)
Catat Ulasan